Followers

Jul 18, 2009

Dosa kecil menjadi dosa besar

Kita tidak boleh memandang endah tak endah terhadap dosa-dosa kecil yang kita lakukan kerana ia dapat juga berkembang dan berubah menjadi dosa besar dengan adanya berbagai sebab iaitu:

1. Kerana dosa kecil itu dikerjakan terus-menerus atau dikekalkan sahaja mengerjakannya tanpa ada hentinya.

Seperti halnya titisan air yang berulang kali jatuh di atas batu, lama kelamaan tentulah berbekas pula.Tetapi tidak akan berbekas jika batu itu dituangi air berapa pun banyaknya dengan sekali tuang!

Dalam soal amal baik, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik amal itu ialah yang terkenal atau yang paling rutin mengerjakannya, sekalipun hanya sedikit. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Kerana adanya anggapan kecil pada dosa yang dilakukannya.

Jika seseorang menganggap dosa yang dilakukannya besar, maka disisi Allah dianggap kecil, dan jika seseorang itu menganggap dosa yang dilakukannya kecil, maka disisi Allah dipandang besar. Sebabnya ialah kerana anggapan besar itu timbul dari hati yang sebenarnya tidak suka melakukannya atau ingin menjauhinya. Kalau akhirnya dosa itu dikerjakan juga, hal ini berlaku sebab hebatnya godaan dan lain sebagainya. Ketidaksukaan melakukan inilah yang menyebabkan dosa yang dikerjakan sangat sedikit meninggalkan bekas dalam hatinya.

Sebaliknya jika dosa itu dianggap kecil oleh yang melakukannya, tidak lain sebabnya ialah kerana hatinya amat condong melakukannya. Kecondongan inilah yang menyebabkan dosa yang dikerjakanya sangat berbekas dalam hatinya. Selain itu, sikap memandang kecil akan dosa mempunyai kesan negatif. Orang menjadi tidak takut lagi untuk berbuat dosa dan kurang peduli terhadap dosa.

3. Kerana dosa kecil itu dilakukan dengan senang hati dan merasa nikmat.

Sebabnya ialah kerana dosa yang dikerjakan dengan gembira dan nikmat, ia akan terbuku di dalam batin, bahkan juga akan menimbulkan kehitaman yang amat sangat dalam kalbu. Tidak ada rasa penyesalan dan selalu ingin mengulanginya kembali. Perasaan berbahgia di dalam dosa satu hal yang sangat buruk.

4. Kerana dosa kecil itu dilakukan dengan perasaan aman/bebas dari balasan Allah.

Sebetulnya perbuatan apa pun samada besar atau kecil tidak mungkin terlepas dari pengawasan Allah. Allah teramat teliti mengawasi segala sesuatu. Hanya orang yang bodoh/sesat sahaja yang merasa dirinya aman/bebas dari pengawasan Allah. Walaupun (nampaknya) aman dari balasan Allah, barangkali kerana Allah memang menangguhkan balasan itu sebagai kemurkaanNya, agar dengan demikian makin banyak lagi dosa yang dikerjakannya dan akan dibalas di akhirat kelak. Perasaan aman dari pengawasan/balasan Allah, meyebabkan seseorang itu berterusan berkecimpung dalam dosa dan noda dan semakin berani melakukanya.

5.Kerana dosa kecil itu diberitahukan atau diperlihatkan kepada orang lain.

Adakalanya dosa itu dilakukan dengan tidak diketahui orang lain, tetapi kemudian diberitahukan kepada orang lain. Dan ada kalanya pula waktu melakukannya memang di hadapan orang lain. Orang yang demikian telah melakukan dua macam pelanggaran. Dosanya kerana melakukan kesalahan dan dosa memperlihatkan kesalahan kepada orang. Sebenarnya dosa yang dikerjakan menjadi rahsia dirinya sendiri sebab hanya dia sendiri dan Allah yang mengetahui. Begitu juga dosa yang sebenarnya dapat dilakukan dengan diam-diam dengan tidak diketahui orang lain, mengapa dilakukan di muka orang lain?

Jadi pelanggaranya yang pertama, kerana ia melakukan kemaksiatan itu dan pelanggarannya yang kedua kerana cara ia melakukan dosanya itu dapat menggerakkan keinginan buruk orang lain untuk menirunya. Dengan begitu, satu perbuatan kemaksiatan menyebabkan dua bentuk dosa. Itulah sebabnya dosa kecil berkembang menjadi dosa yang besar.

6. Kerana dosa kecil itu dilakukan oleh orang alim yang mempunyai banyak pengikut.

Orang yang alim mempunyai pengaruh besar kepada para pengikutnya.Kerana itu dosa yang dikerjakannya kemungkinan besar akan diikuti pula oleh para pengikutnya .Inilah yang menyebabkan dosa kecil tadi berubah menjadi dosa besar.
Dalam sebuah hadis disebutkan: "Siapa menciptakan sunnah yang buruk, dia menanggung dosa atas perbuatannya itu dan juga dosa orang lain yang meniru melakukannya tanpa dikurangi dosa orang lain itu sedikit pun" Tetapi sebagaimana berlipat gandanya dosa yang dilakukan oleh orang alim itu, maka berlipat ganda pulalah kebaikan yang dibuat olehnya,apabila banyak orang yang mengikut dan melanjutkan amal baiknya itu.

by:

http://www. daawah.com/

2 comments:

CindyMae said...

Please stop by my blog and see the July 17th post as there is something there for you!!
http://stitchingkorner.blogspot.com/

BUJANG SUSAH said...

Salam dari saudaramu...
Semoga kita terhindar dari segala dosa.. namun manusia sukar lari dari kenyataan ini.. yg pastinya istigfar dan sentiasa bertaubat serta tidak mengulangi melakukannya saja yg mampu menawarkan segala dosa2 insyaAllah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails